Monday, March 26, 2012

#192 - March's Only Entry.


Berhabuk. Lama dia memerhatikan bingkai gambar yang terletak elok di atas meja. Bingkai itu sentiasa di situ. Tidak disentuh. Tidak diusik. Tidak juga dibiarkan. Saban hari matanya melirik ke dua wajah manis di dalam gambar, namun sekadar pandangan mata yang menyinggah. Namun hari ini, bingkai itu disentuh dan entah perasaan ganjil apa yang menghinggap jiwa saat jarinya tersentuh habuk yang menghiasi bingkai itu.

Ganjil. Perasaannya ganjil. Seakan-akan hatinya dihiris lalu terluka. Namun entah itu kesedihan atau tidak, dia kurang pasti. Jauh di sudut hati, dia menyalahkan diri sendiri. Masakan bingkai itu berhabuk jika dia menjaganya dengan baik. Masakan bingkai itu berhabuk jika dia melebihkan sedikit perhatian ke atasnya. Masakan bingkai itu berhabuk jika dia benar mengambil berat akannya.

Serabut. Mungkin itu apa yang dia rasa. bingkai itu berhabuk, dan dia takut hubungannya dengan dua wajah manis di dalam gambar itu bakal berhabuk jua. Sudah sebaik mungkinkah dia menjaga hubungannya dengan mereka? Sudah cukupkah perhatiannya ke atas mereka? Sudah benar-benar mengambil beratkah dia terhadap mereka? Tiba-tiba dia rasa dunia itu seakan-akan memusuhinya.

Dunia, mungkin tidak akan lagi dipandang sebagaimana dia memandangnya selama ini, jika dia kehilangan dua manusia dalam gambar itu. Dunia, mungkin akan gelap segelap-gelapnya walau mentari terik memancar, jika dunianya sudah tidak ada mereka. Dunia, mungkin akan benar-benar dimusuhinya , jika dunia menarik pergi dua insan itu dari hidupnya.

Sejenak dia beristighfar. Cintanya dia pada mereka cuba diikhlaskan kerana Allah semata-mata. Dia mahu bersama-sama mereka di syurga yang abadi, bukan sekadar di dunia yang penuh perhiasan palsu ibarat bunga yang bakal layu. Lantas, apakah perasaan ini? Mengapa perlu dia takut pada kehilangan yang sementara, jika cintanya benar-benar ikhlas kerana sang Pencipta? Mengapa masih dia mengharapkan kebahagiaan di atas dunia sedangkan dia tahu tiada yang akan kekal selain-Nya?

Runsing. Bila mana hati bercanggah pendapat dengan si akal. Bila mana nafsu cuba menentang hebat si iman. Sungguh dia tahu apa yang terbaik untuknya, namun entah apa sebabnya bukan yang terbaik itu yang mahu dikejarnya. Menjadi manusia itu, rumit bila hal duniawi dicampur-baurkan dengan hal ukhrawi.

Manusia degil. Degil untuk terus mengejar dunia. Sedangkan kata Allah, jika ukhrawi yang dia kejar, maka Allah akan memberi kedua-dua dunia dan ukhrawi untuknya. Mengapa masih degil mahu mengecap kebahagiaan yang hampir dan tidak lama, sedangkan dia boleh saja mendapatkan kebahagiaan yang kekal dengan melebihkan sedikit usaha? Sunnatullah?

... 


0 comments: