Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Lebih setengah tahun blog ini menyepi, dan hari ini, insyaAllah dihidupkan kembali. Kerana walaupun tanpa pembaca, aku mahu menyampaikan. Apa yang aku rasa, aku mahu luahkan semua. Blog ini adalah saksi jatuh bangun seorang aku. Sejak zaman belia remaja sehingga hampir mencecah suku abad saat ini, blog ini merakamkan setiap detik itu.
Hari ini aku menangis membaca tinta seorang bakal ibu untuk anaknya yang bakal lahir. Betapa manusia itu sentiasa berubah. Rugilah mereka yang ditinggalkan arus kehidupan yang sentiasa bergerak ke hadapan. Perjalanan kehidupan itu maha pendek. Entahkan hari ini, entahkan esok lusa, bila-bila saja Tuhan berkuasa menarik nyawa. Lalu, kebelakangan ini sering aku bertanyakan kepada diri sendiri, apa pencapaian aku?
Jika aku mati hari ini, apa yang akan diingati tentang aku hanyalah dia yang sedang belajar di luar negara.
Saat ini, aku masih belum menjadi seorang doktor. Saat ini, pendidikan tertinggi aku hanyalah sekeping sijil SPM yang aku terima tujuh tahun lalu.
Saat ini, aku masih seorang perempuan bujang yang bakal mencecah usia 25. Saat ini, aku masih seperti aku tujuh tahun dahulu, bujang dan bahagia tanpa sulit memikirkan hal ehwal lelaki, cinta dan perkahwinan.
Jika aku mati tujuh tahun lalu, perasaannya mungkin sama sepertimana aku yang mati hari ini. Pencapaian aku hari ini tidak ada beza dengan pencapaian aku tujuh tahun lalu.
Tujuh tahun ini, apa yang aku lakukan dengan kehidupan ini? Sudahkah aku mempersiapkan diri untuk mati? Sudahkah aku bertungkus-lumus berusaha untuk berbakti?
Tujuh tahun ini, yang membezakan aku dengan aku yang dulu hanyalah secebis hidayah. Tujuh tahun lalu, aku buta. Saat ini, aku mampu melihat dari kaca mata yang sebenarnya. Tujuh tahun lalu, aku hanya mahu memperoleh dunia. Saat ini, aku menginginkan sekaligus akhirat di samping dunia. Jika aku bersungguh-sungguh. Jika aku benar-benar menggunakan secebis hidayah itu.
Jika aku masih memilih dunia saat ini setelah dicelikkan mata oleh Allah, maka aku yang hari ni malah lebih hina daripada aku tujuh tahun lalu. Allahu. Semoga dijauhkan Allah.
Peringatan untuk penulis yang sentiasa perlu diingatkan berulang-ulang kali.
0 comments:
Post a Comment