Wednesday, August 7, 2013

#230 Wang

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Hari itu saya ke Galleria Lodzka, salah satu shopping mall terdekat dengan rumah. Bertemankan Pidah. Bila, saya sudah tidak ingat. Untuk beli apa, juga sudah saya tidak ingat. Saat mahu pulang, kami sudah menjinjit beg-beg plastik yang sarat dengan barang yang dibeli. Groceries mungkin. Berat. Lalu jalan mudah untuk pulang tanpa perlu berpenat lelah adalah dengan menaiki teksi. 

Walaupun dekat, tambang teksi selalunya berjumlah kira-kira 10 złotych. Tapi hari itu, tiba-tiba sahaja teksi yang kami naiki mengambil jalan jauh untuk ke destinasi. Meter tambang menunjukkan harga yang semakin meningkat, dan sudah tentu lebih dari yang sepatutnya. 

Teringat pesan seorang senior ketika kami masih di tahun pertama.

"Hati-hati apabila menaiki teksi di sini. Kadang-kadang mereka suka mengambil jalan jauh bila membawa foreigners kerana tahu foreigners kurang arif dengan selok-belok jalan di sini."

Saya sudah tidak senang duduk berada di dalam teksi itu. Hendak menyoal si pemandu teksi, saya sendiri tidak tahu apa perkataan yang harus saya ucapkan dek penguasaan bahasa negara itu yang sangat limited. Salah sendiri. Lalu saya hanya mampu meluahkan rasa tidak puas hati pada Pidah. Geram bila rasa ditipu hidup-hidup oleh si pemandu. Seingat saya meter tambang menunjukkan hampir ke 30 złotych, tiga kali ganda lebih dari harga biasa.

Saya membebel-bebel tanpa henti di dalam teksi menggunakan bahasa Melayu. Pidah mendengar, dan kadang kala menyampuk. Pidah juga tidak puas hati tetapi saya yang lebih radikal meluahkan segala rasa. Geram dan marah menguasai diri saat itu.

Saat teksi berhenti di luar bangunan apartment yang kami duduki..

"Ile? (berapa?)" soal kami, walaupun mata jelas menangkap nombor-nombor yang terpapar di meter tambang. Hampir atau lebih 30 złotych, saya sendiri kurang ingat.

"Tylko dziesięć złotych." balas si pemandu.

Saat itu, saya sebu dengan seribu satu rasa. Walaupun meter tambang menunjukkan harga yang agak tinggi untuk kami, pak cik si pemandu sekadar meminta kami menghulurkan 10 złotych. 'Hanya 10 złotych' katanya.

Bersalah. Sudah tentu. Entah apa yang saya dan Pidah hamburkan kepadanya di dalam teksi sebentar tadi. Sedih. Dengan diri sendiri yang mudah melatah dan susah benar mahu berlapang dada dan bersangka baik pada tamparan pertama. Geram. Juga dengan diri sendiri. Kerana wang, saya bertindak seperti manusia yang langsung tidak pernah menerima tarbiyyah. Allahu.

"Rasa macam nak bagi je 30 dekat pakcik tadi." sebaik sahaja teksi pak cik meluncur pergi.

***

Point saya dalam entry ini:

Wang bukan segala-galanya, namun segala-galanya mampu berubah kerana wang.

Wang bukan benda paling penting dalam dunia, tapi ada negara yang tergadai kerana wang, maruah yang tergadai kerana wang, hubungan yang tergadai kerana wang. 

Bila manusia bertuhankan wang, inilah yang terjadi.

Wang boleh merubah sikap manusia. Dari lemah-lembut menjadi bengis dan tidak berhati perut. Seperti saya, yang begitu mudah melenting dalam situasi di atas.

Namun..

Sikap manusia juga boleh merubah bagaimana pandangan kita terhadap wang. Seperti saya dan Pidah, juga dalam situasi di atas. Kerana ketulusan si pak cik teksi, serta-merta saya dan Pidah tidak kisah jika perlu membayar lebih dari yang sepatutnya.

Lihatlah di mana kita meletakkan kedudukan wang dalam kehidupan kita. Sedih dan sadis jika wang membuatkan kita membenci seseorang, atau memutuskan hubungan kita dengan seseorang. Wang itu keperluan untuk hidup, namun sedikit pun tidak dipandang oleh orang yang bakal mati. Ada beza antara orang yang merasakan dia hidup dan orang yang merasakan dia bakal mati. ;)

post script 1: tiba-tiba teringatkan kisah ini, kerana sesuatu yang terjadi pada saya hari ini. Muhasabah. Sabar. Cool. Eceh.

post script 2: semoga pak cik teksi memaafkan saya dan Pidah, walau pak cik teksi mesti macam termangu-mangu saat kami mengucapkan 'przepraszam' instead of 'dziękuję' semasa menghulurkan wang tambang.

2 comments:

cgu shupi said...

Baik atau buruk tidak dibataskan bangsa dan agama. Srmoga Shila dan rakan berjaya cemerlang dan dirahmati Allah.

Lemonades Of Life said...

Cikgu baca blog saya??? MALUUU. Hehe. Terima kasih cikgu. Doakan saya cikgu.