Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Kekuatan itu datangnya bukan dari kesihatan badan yang unggul. Bukan dari sokongan jitu mereka di sekeliling kita. Bukan dari keazaman yang tak pernah lelah. Bukan dari semangat yang berkobar-kobar. Bukan dari ketinggian ilmu yang melangit.
Yes, those elements help. Namun yang menjadi sumber sebenar kekuatan itu adalah keyakinan kepada Allah. Bila kita yakin dengan setiap aturannya, kita bersangka baik dengan ujian yang melanda, bersyukur dengan nikmat yang tiba.
Status Facebook terbaru saya.
Sakit itu biasa. Lebih-lebih lagi bila demam, batuk, selesema dan sakit kepala. Itu tandanya badan kita masih mampu berfungsi dengan baik. Demam itu sendiri, secara saintifiknya bukanlah penyakit, namun merupakan defense mechanism badan kita, yang sedang bertarung dengan pathogens yang menyerang badan. Bersyukurlah. Secara logiknya, demam itu tanda badan kita masih mampu mengenal apa yang baik apa yang tidak untuk kita. Bersabarlah. Secara ruhinya, itulah tuntutan Allah untuk umat islam yang dilanda musibah.
Kadang kala kita jadi kabur dengan sumber kekuatan kita. Terlalu banyak bekerja. Memikirkan masalah ummah yang semakin menjadi-jadi (lebih-lebih lagi di Malaysia). Sibuk memberi taujihat itu ini. Sibuk membentuk adik-adik usrah. Lalu datanglah satu jenis penyakit yang sangat berbahaya.
"Sindrome bercakap tentang Allah lebih dari bercakap dengan Allah."
Bercakap tentang Allah itu senang. Sebagaimana apa yang sedang saya lakukan sekarang. Dalam bahasa medicnya, orang-orang sebegini punya peripheral edema. Bengkak kaki tangan dan badan, namun kepalanya kecil. Bersungguh-sungguh bekerja, kononnya mahu berdakwah menaikkan semula agama Allah di mata dunia, namun sangat kurang berdoa dan bermunajat kepada-Nya.
Kata seorang sahabat, "Dari mana datangnya semangat ini?"
Bila keyakinan kepada Allah itu bukan sumber kekuatan kita, kita akan senang untuk hilang. Tercicir. Mengundur diri.
Bila sakit, mula beralasan badan lebih memerlukan tuntutan rehat.
Bila sendirian, mula beralasan tiada yang melihat maka tak apalah, sekejap sahaja aku mahu berehat.
Bila diuji, keazaman dan semangat pun luntur begitu sahaja dimamah putus asa.
Bila berdepan mereka yang pandai berhujah, kita berundur dek alasan aku masih perlu menambah ilmu.
Walau bagaimana sekalipun, perlulah kita sedar, hubungan dengan Allah itu harus terjaga. Sepanjang masa. Jangan diharapkan pada biah yang solehah untuk mengingatkan, ia membantu, namun bila berseorangan, hanya ingatan terhadap Allah sahaja yang mampu menggerakkan kita. Jangan diharapkan pada semangat yang dirasakan takkan hilang, ia membantu, namun sedikit ujian yang luar biasa sahaja bakal memadam api semangat itu jika tidak disandarkan pada Allah.
Bercakap dengan Allah itu juga perlu. Namun, keislaman kita masih belum sempurna jika kita sekadar bercakap dengan Allah tanpa memberitahu dunia siapa itu Allah. Dalam bahasa medicnya, orang yang sekadar mementingkan ibadah semata-mata ini saya umpamakan punya macrocephalus. Kepalanya membesar, penuh dengan entah apa, namun tak digunakan sepenuhnya.
Wahyu pertama yang diturunkan juga menuntut kita membaca. Mencari ilmu. Kerana ilmu yang kita amalkan bakal menjadi aset yang memasukkan pahala ke dalam akaun kita walaupun setelah kita mati. Beribadatlah sejuta tahun sekalipun, saat kita mati, terputuslah pahala ibadat kita. Namun ada pahala yang tidak akan terputus dengan kematian kita; anak soleh yang mendoakan kita, ilmu yang kita amalkan, sedekah yang kita hulurkan.
Perhatikan. Tiga jenis pahala ini berkait rapat dengan hubungan kita dengan manusia yang lain. Allah menuntut kita untuk beribadat kepada-Nya. Namun, itu belum sempurna jika kita tidak memelihara hubungan kita dengan manusia yang lain.
Maka, seimbangkanlah antara bercakap dengan Allah dan bercakap tentang Allah. Kedua-duanya tuntutan yang wajib kita penuhi. Kedua-duanya mendatangkan pahala kita dilakukan dengan ikhlas kerana-Nya. Namun, janganlah melebihkan satu dan meninggalkan yang lagi satu. Kedua-duanya sangat berkait rapat. Kedua-keduanya interdependent on each other. Kedua-duanya ada kesan ke atas masing-masing.
Ringkasan tazkirah untuk diri sendiri. Semoga memberi manfaat juga kepada yang membaca.